Tuesday, June 28, 2011

| Munajat Seorang Hamba |




saat hati ini berasa kekosongan,,
jiwa terasa sepi,,
sebutir titisan air mata jatuh dari kelopaknya,,
di keheningan pagi ini,,
 hati ku mula berbicara….


 

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu  rahmat yang memberikan hidayah pada hatiku dan melengkapkan kesempurnaan diriku. Dan menampung kekuranganku dan memperbaiki apa yang tiada pada diriku dan menaikkan kedudukanku dengan persaksian dan menyucikan perbuatanku, dan memberikan kepadaku ilham dan mengembalikan kepadaku ketenangan dan melindungiku daripada kejahatan.

Ya Allah anugerahkanlah buatku keimanan dan keyakinan yang tidak kufur selepasnya, dan rahmat yang membolehkan aku mencapai kemuliaan dunia dan akhirat.

Ya Allah, ku pohon kepada-Mu kemenangan dan kedudukan para syuhada dan kehidupan orang yang bahagia dan kemenangan atas musuh.

Ya Allah, penuhkanlah hajatku, walaupun lemahnya diriku dan amalanku, namun aku tetap mengharapkan rahmat-Mu. Maka aku memohon kepada-Mu menunaikan segala perkara yang melegakan dada, sebagaimana engkau menyelamatkan, selamatkanlah aku dari api neraka, dan daripada gangguan kekufuran dan fitnah kubur.

Ya Allah, apa yang tidak mampu aku memintanya kerana tidak sampai niatku sedangkan Engkau menganugerahinya kapada hamba-hamba-Mu., maka aku memintanya. Aku mengharapkan dengan rahmat-Mu wahai tuhan sekalian alam.

Ya Allah yang memiliki pelbagai rahsia dan urusannya, aku memohon kepada-Mu keselamatan pada hari kiamat, dan syurga pada hari yang kekal bersama dengan para muqarrabin yang telah bersaksi, para mukmin yang sentiasa sujud dan menunaikan janji, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan melakukan apa yang Engkau kehendaki.



Ya Allah, jadikanlah diri ini sentiasa menyampaikan hidayah dan mendapat hidayah, bukannya yang sesat dan menyesatkan, pembawa keselamatan buat para wali-Mu memerangi musuh-Mu, kami cinta dengan kecintaan-Mu orang yang mencintai-Mu dan memusuhi sesiapa yang memusuhi-Mu.

Ya Allah , inilah doa-doaku. Kabulkanlah ia, dan ini merupakan usaha dan tawakkal buatmu.

Ya Allah, kurniakan lah cahaya dalam hatiku, cahaya dalam kuburku, cahaya di hadapanku, cahaya di belakangku, cahaya di sebelah kananku, cahaya di sebelah kiri ku .

Ya Allah kurniakanlah aku cahaya yang agung dan berikanlah kepadaku cahaya , Maha Suci-Mu ya Allah yang memiliki keagungan dan ketinggian..”



USTAZAH PILIHAN : Antara Realiti dan Fantasi


Rakyat Malaysia hari ini semakin dihidangkan dengan pelbagai program realiti TV yang boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Satu persatu program realiti TV diperkenalkan oleh stesen-stesen TV sama ada stesen TV percuma mahu pun stesen TV berbayar. Daripada program berbentuk hiburan seperti Akademia Fantasia dan Mentor hingga kepada program berbentuk ilmiah seperti Akademi Al-Quran dan Imam Muda. 

Terbaru, satu lagi program realiti TV diperkenalkan oleh Astro Oasis yang berjudul Ustazah Pilihan yang akan memaparkan pencarian muslimah sejati merangkumi segala aspek kehidupan seperti pendidik, pembimbing dan pemimpin kaum wanita dalam masyarakat. Menerusi Ustazah Pilihan, 10 peserta yang terpilih akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi meneruskan pembelajaran amali dan praktikal yang diperlukan sepanjang lapan minggu di akademi, yang bertujuan memantapkan pengetahuan dari aspek keagamaan, hal ehwal teknologi, kewangan, kemasyarakatan serta kekeluargaan. Mereka akan diberikan tugasan tertentu sepanjang minggu berlandaskan format kitaran kehidupan yang membabitkan isu semasa berkaitan wanita manakala pendekatan yang digunakan pula harus relevan dengan realiti wanita zaman kini, malah markah diberikan bersandarkan kedua-dua kerja iaitu hasil kerja kumpulan serta kesungguhan individu itu sendiri.

Hari ini, rancangan-rancangan televisyen yang berkonsepkan keagamaan dan ketuhanan makin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia khususnya umat Islam. Bukan sahaja industri lakonan yang semakin rancak dengan penghasilan filem dan drama berkonsepkan keagamaan dan ketuhanan bahkan personaliti-personaliti seni turut sama mula kembali ke jalan fitrah. Kita lihat bagaimana satu anjakan paradigma berlaku dalam hidup beberapa personaliti TV seperti Malek Nor, Bob Lokman, Sham Kamikaze, Irma Hasmie dan Catriona Ross. Malah antara yang paling mengejutkan ialah dengan kehadiran kumpulan Al-Mawleed yang terdiri daripada bekas anggota tiga kumpulan penyanyi urban terkenal iaitu Ruffedge, VE dan Innuendo yang kini beralih ke lagu-lagu berbentuk kerohanian. 

Penghijrahan personaliti-personaliti terkenal tanah air diterima baik oleh masyarakat. Kita sememangnya mengharapkan nilai-nilai Islam diterapkan dalam segala aspek kehidupan termasuk dalam aspek hiburan seperti ini. Tambahan pula, realiti hari ini memperlihatkan bagaimana industri hiburan menjadi pengaruh besar kepada pemikiran dan perilaku kebanyakan masyarakat lebih-lebih lagi anak muda. Perkembangan ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Islam lain untuk mencontohi nilai-nilai Islam yang ditunjukkan. 

Lantas, apabila pertama kali mendengar hebahan Ustazah Pilihan, rasa begitu teruja untuk menonton rancangan tersebut. Title “Ustazah Pilihan” pasti menjanjikan ikon wanita muslim yang memiliki ciri-ciri pilihan seperti berilmu, berakhlak tinggi, bijak, petah berbicara dan ciri-ciri tambahan lain yang bakal melayakkan seseorang itu menjadi “Ustazah Pilihan”. Sudah terbayang di fikiran bagaimana ramainya nanti muslimah di luar sana yang akan menjadi penonton dan peminat setia rancangan Ustazah Pilihan. Pasti akan ramai juga jejaka-jejaka di luar sana turut teruja dan setia menonton wanita-wanita muslim peserta Ustazah Pilihan. Jika rancangan Imam Muda mendapat sambutan hangat daripada masyarakat muslim khususnya anak muda, saya yakin dan percaya rancangan Ustazah Pilihan akan mendapat sambutan yang jauh lebih hangat. 

Pendekatan dakwah dengan memperkenalkan program Ustazah Pilihan merupakan satu alternatif yang pada awalnya dilihat mampu memberi manfaat kepada penontonnya. Pasti akan ada penonton-penonton wanita yang mula menjadikan peserta-peserta Ustazah Pilihan sebagai idola mereka, mencontohi peribadi mereka dan mula memasang angan-angan mahu menjadi seperti mereka! Tidak kurang pula penonton-penonton dari kaum Adam, pasti akan ada yang bercita-cita mahukan pasangan hidup yang mempunyai ciri-ciri seperti peserta-peserta Ustazah Pilihan yang mana antara kelayakan mereka menjadi peserta ialah berkebolehan dalam komunikasi, berilmu, berpegang kukuh kepada agama, berdaya fikir tinggi serta matang.

Jika diberi pilihan sama ada untuk membiarkan masyarakat khususnya anak-anak muda menonton rancangan Akademi Fantasia atau Ustazah Pilihan, sudah tentu kami memilih Ustazah Pilihan!

Namun begitu, jika dilihat dari satu sudut pandang yang lain, kami cukup bimbang sekiranya perlaksanaan program Ustazah Pilihan nanti tidak selari dengan syariat yang Islam tetapkan. Teori selalunya lebih mudah berbanding praktikal. Walaupun pihak penganjur mengatakan bahawa program ini akan berpaksikan hukum syarak namun sejauh mana hal ini terjamin sepanjang perlaksanaan nanti yang pastinya setiap perkara akan datang bersama ujian dan cabaran. 

Kami mula mempersoalkan bagaimana agaknya penampilan peserta-peserta Ustazah Pilihan nanti. Kalau peserta Imam Muda tampil dengan imej segak dan menarik, apatah lagi kaum Hawa. Adakah wanita-wanita yang bakal menghiasi pentas Ustazah Pilihan akan berpakaian menarik walaupun menutup aurat? Yakinkah kita tidak akan terjadinya tabarruj iaitu berhias untuk memperlihatkan perhiasan badannya (mekap/gaya tudung)? Tidakkah program seperti ini secara tidak langsung akan mempertontonkan personaliti wanita? Di mana pula perasaan malu seorang wanita apabila dipertontonkan di khalayak ramai untuk dinilai, disebut-sebut kelebihannya malah dipertandingkan peribadinya sedangkan istimewanya seorang wanita itu pada sifat malunya. 

Adapun bila menyebut soal kecantikan, pasti akan ada penonton rancangan Ustazah Pilihan yang memandang kepada kecantikan peserta lebih-lebih lagi penonton lelaki. Terjaminkah peserta-peserta Ustazah Pilihan tidak akan dipandang dan memandang? Sudah tentu tidak. Dan yang paling menjadi kebimbangan ialah apabila memikirkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut “Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar yang dihadapi kaum lelaki kecuali fitnah para wanita.” (HR Bukhari dan Muslim). Tidak akan tergugatkah iman kaum Adam walaupun sedikit apabila memandang peserta-peserta Ustazah Pilihan yang berkemungkinan menjadi idaman penonton-penonton lelaki kelak? Layakkah wanita-wanita yang menjadi tontonan lelaki, yang namanya sering meniti di bibir lelaki malah yang mungkin menjadi khayalan lelaki diangkat menjadi “Ustazah Pilihan”?? Sedangkan kita tahu wanita yang baik tidak dipandang dan tidak memandang.
“Ustazah Pilihan” yang sebenar menurut pandangan kami bukanlah wanita yang hanya memiliki ilmu yang tinggi dan bakat yang luar biasa tetapi adalah wanita yang teguh aqidahnya, istiqamah ibadahnya dan mulia akhlaknya. Sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan: Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad). 

Kami suka untuk mengambil pendekatan mencegah itu lebih baik daripada merawat. Kami melihat lebih banyak mudarat (keburukan) daripada maslahat (kebaikan) yang mungkin timbul daripada program Ustazah Pilihan. Banyak lagi pendekatan dakwah yang kita boleh ambil selain daripada mempertontonkan wanita kepada umum. Jika pihak penganjur masih berhajat mahu membentuk ikon pendakwah wanita melalui landasan akademik seperti ini, kami mencadangkan agar ia dijalankan secara tertutup dan tidak bersifat pertandingan. Islam memuliakan dan menghormati wanita, maka layanilah mereka dengan adil dan benar. 

Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah" (Hadis Riwayat Muslim)

Penulis adalah Syahirah Zulkifli Timbalan Majlis Dakwah Dan Kebajikan GAMIS

Monday, June 6, 2011

Kuiz Ramalan Nasib di Facebook

Bagi mereka yang mendaftarkan akaun Facebook dan aktif menggunakannya pasti sedia maklum bahawa antara aplikasi menarik di dalam Facebook ialah membuat kuiz. Sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Facebook boleh mencipta apa sahaja kuiz dengan hanya mengikuti aturan-aturan yang mudah. Kini, kedapatan lambakan bentuk kuiz yang tersedia dalam Facebook, dan sesetengah pengguna menjadi ketagih dengan kuiz-kuiz ini.
Dari sisi positif, aplikasi kuiz ini boleh dimanfaatkan sebagai satu medium dakwah yang menarik. Iaitu dengan mencipta kuiz-kuiz berbentuk ilmiah dan keagamaan. Sekurang-kurangnya pencipta kuiz boleh mempelajari skill membuat soalan yang berkesan dan pengguna yang menyertainya pula dapat mengulangkaji maklumat-maklumat yang mungkin sudah lama ditinggalkan.
Malangnya, kebebasan mencipta kuiz di Facebook telah disalahgunakan oleh sesetengah pengguna dengan membuat kuiz-kuiz yang boleh mencemarkan akidah dan kepercayaan. Antaranya kuiz horoskop, kuiz ramalan nasib, kuiz ramalan jodoh, kuiz ramalan di mana dan bila anda mati dan lain-lain. 
Contohnya, dalam kuiz ‘Singkap Rahsia di Sebalik Nama’, jika seseorang bernama ALI menyertainya, setelah mengikuti aturan ringkas, jawapan yang akan diberikan adalah seperti di bawah:
ALI: 1+3+9=13
1 + 3 = 4
Nombor Rahsia disebalik nama anda ialah : 4
Mereka hanya akan bertindak apabila faham sepenuhnya tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan.
Jika anda mengikuti kuiz ‘Singkap Rahsia Nombor Lahir Anda’ pula, dan anda memasukkan sebagai contoh tarikh 1 Januari 1979, maka ramalan yang tertera ialah:
1 + 1 + 1979 = 1981
1 + 9 + 8 + 1 = 19
1 + 9 = 10
1 + 0 = 1
Nombor Tarikh Lahir anda ialah :1
Golongan ini merupakan yang paling jujur dan boleh mempelajari dengan baik teknik diplomasi.
Tidakkah satu kejahilan tentang agama dan kebebalan yang melampau, apabila sikap seseorang insan boleh diketahui melalui ejaan namanya atau susunan tarikh lahirnya? Sejak bilakah Allah Taala menjadikan ejaan nama seseorang dan susunan tarikh lahir sebagai alamat bagi sifatnya?
Malah, terdapat juga kuiz-kuiz yang lebih dahsyat seperti kuiz meramalkan di mana dan bilakah anda mati. Berdasarkan soalan-soalan dalam kuiz seperti ini, saya percaya bahawa orang yang membuat kuiz ini hanya main-main sahaja. Tidak berdasarkan kepada mana-mana teori atau falsafah.
Contohnya, saya menjawab secara rambang satu kuiz bertajuk ‘Di mana kamu mati’. Jawapan yang tertera ialah:
Di Rumah.
Lu mati jatuh dari tangga paling atas ke bawah tanggal 03 Maret 2014.
KEWAJIPAN MEMELIHARA AKIDAH
Berdepan dengan kemunculan tukang ramal dan ahli nujum moden di dalam Facebook, kita sebagai orang beriman wajib mempelajari dan memelihara akidah yang sahih. Agar dapat mengelak daripada kemurkaan Allah, dan membezakan antara hak dan batil.
Ramalan nasib, ramalan kematian, dan ramalan jodoh yang berasaskan kepada kaedah nama, warna kegemaran, dan seumpamanya adalah satu pencemaran dalam akidah Qadha’ dan Qadar. Kerana ilmu tentang perkara ghaib adalah hak mutlak Allah Taala, yang tidak dikongsikan dengan sesiapa pun kecuali yang dikhabarkan kepada rasul-rasulNya.
Allah menegaskan dalam Al-Quran:
عَالِمُ الْغَيْبِ فَلا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا إِلا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ
Maksudnya: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya. (Al-Jinn: 25-26).
HUKUM BERTANYA TUKANG RAMAL
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah melarang umatnya daripada bertemu dengan tukang ramal, apatah lagi mempercayai ramalannya.
Sabda baginda:
من أتى عرافا فسأله عن شيء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة
Maksudnya, “Sesiapa mendatangi tukang ramal lalu bertanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima sembahyang baginya selama empat puluh malam”. (Direkod oleh Muslim).
Di dalam hadis lain:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُول فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّد
Maksudnya, “Sesiapa mendatangi tukang ramal lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur kepada apa yang diturunkan ke atas Muhammad”. (Direkod oleh Ashab Al-Sunan).
Mendatangi tukang ramal bukanlah satu kekufuran atau syirik secara mutlak. Menurut Syeikh Al-Utsaimin, ia boleh dibahagikan kepada tiga katagori.
Pertama: Orang yang datang kepada tukang ramal untuk bertanya ramalan sesuatu, tetapi tidak mempercayainya. Perbuatan ini adalah haram, dan balasannya ialah tidak diterima sembahyang selama 40 hari.
Kedua: Orang yang bertanya tukang ramal, dan mempercayai apa yang diramalnya. Perbuatan ini selain haram, ia menyebabkan jatuh kafir kepada Allah. Kerana mempercayai bahawa tukang ramal mengetahui perkara-perkara ghaib yang merupakan hak mutlak Allah. Ia juga satu bentuk mendustakan ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa ilmu ghaib adalah kepunyaan Allah semata-mata.
Ketiga: Orang yang bertanya tukang ramal kerana maslahah untuk menyelidiki dakwaannya. Supaya dapat dijelaskan pendustaannya atau diambil tindakan terhadapnya. Tindakan ini adalah harus sebagaimana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bertanya beberapa soalan terhadap Ibn Shoyyad.
Justeru, sebelum pengguna Facebook menyertai kuiz-kuiz ramalan, pastikan dulu dia termasuk dalam kategori manakah.
SEKADAR MAIN-MAIN
Sesetengah penagih kuiz-kuiz ini mempertahankan tindakan mereka dengan hujah kuiz-kuiz ramalan itu hanyalah satu bentuk permainan merehatkan minda sahaja, tanpa mempercayainya.
Sedarkah mereka bahawa dalam perkara Akidah, kita dilarang menjadikannya sebagai main-mainan dan olok-olokan? Bolehkah akidah tentang qadha dan qadar dijadikan main-mainan? Akidah bahawa Allah sahaja yang mengetahui perkara ghaib boleh dijadikan bahan mainan?
Di samping itu, adakah kita pasti kuiz-kuiz seperti itu langsung tidak memberi kesan kepada akidah pengguna Facebook yang rata-ratanya adalah remaja dan muda-mudi? Bagi saya, kuiz-kuiz ramalan di dalam Facebook adalah satu fitnah terhadap pengguna-pengguna Muslim, terutama mereka yang cetek ilmu agama.
Mereka yang bertanggungjawab mencipta kuiz-kuiz ini, hendaklah bertaubat kepada Allah kerana perbuatan mereka boleh membawa fitnah dan bencana kepada akidah orang Islam lain. Allah berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ
Maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar. (Al-Buruj: 10).

Sumber: Abu Umair

ROKOK & EPAL

Seorang lelaki bercerita, "Ketika aku melaksanakan solat tahiyyatul masjid, aku mencium bau asap rokok yang menyengat dan mengusik khusyukku. Setelah mengucapkan salam, aku menoleh mencari sumber bau.
Aku mendapati seorang lelaki Mesir dengan bibirnya yang hitam. "Aku akan menasihatinya nanti setelah solat," gumamku. Namun, seorang anak kecil berusia sekitar 9 tahun tiba-tiba menghampiri lelaki tersebut. Terjadilah dialog antara mereka berdua.

rokok5
Si anak membuka bicara,

"Assalamu'alaikum pakcik. Pakcik dari Mesir?"

"Ya pakcik dari Mesir."

"Pakcik kenal Syeikh Abdul Hamid Kasyak?"

"Ya, pakcik kenal."

"Syeikh Jadul Haqq?"

"Ya, pakcik kenal."

"Syeikh Muhammad Al-Ghazali?"

"Ya, pakcik kenal."

"Pernah tak pakcik dengar kaset-kaset ceramah dan fatwa mereka?"

"Ya, pakcik pernah dengar."

"Bukankah mereka semua tu adalah para syeikh (alim ulama') yang mengatakan bahawa rokok tu haram, tapi kenapa pakcik membelinya?"

Dengan agak tergagap, lelaki itu menjawab, "Bagi pakcik, rokok tak haram!"

"Rokok hukumnya haram, pakcik. Bukankah Allah telah berfirman, 'Dan (Allah) mengharamkan bagi mereka segala yang buruk.' Pakcik ada ke baca bismillah dan ucap alhamdulillah sebelum dan selepas merokok?" tegas anak kecil itu.

"Dalam Al-Quran takde ayat yang secara tegas menyatakan bahawa rokok tu haram," sangkal pakcik tu.

"Pakcik, rokok tu haram, sebagaimana buah epal juga haram," lanjut si kecil.

Lelaki Mesir itu pun mula naik pitam dan berkata, "Buah epal haram? Atas dasar apa kamu menghalalkan dan mengharamkan, wahai anak kecil?"

"Cuba pakcik beritahu ayat Al-Quran yang secara tegas menyatakan bahawa epal tu halal," pinta si kecil.

Lelaki itu bingung dan diam terpaku. Tidak sanggup lagi dia berbicara. Air matanya tumpah hinggalah ketika iqamat dikumandangkan. Selesai solat, lelaki itu menoleh ke arah anak kecil itu dan berkata, "Nak, pakcik bersumpah demi Allah, pakcik takkan morokok lagi buat selamanya." "

alhamdulillah. ..

* Kisah di atas diolah dan dialihkan sedikit ke dalam bahasa melayu. "Athfal Lakin Du'at" karya Nashir Syafi'i...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...