Sunday, November 4, 2012

Paradoks Maksiat



Kesyukuran dalam kemurkaan

Allahu Allah. Dunia hari ini dirasakan semakin hari semakin pelik. Hari ini membuka akhbar dan membaca kenyataan media seorang artis yang telah melakonkan adengan ranjang di dalam filem terbarunya atas alasan untuk menghidupkan watak, kemudian mengucapkan Alhamdulillah sebagai tanda pujian kepada Allah kerana adegan tersebut berjalan lancar dan baik sekali.

Tidak cukup dengan itu, artis wanita lain memberikan kenyataan sokongan kononnya bahawa babak ranjang itu penting untuk jalan cerita dan watak.
Kemudian saya membaca pula komen-komen masyarakat awam di ruangan facebook berkenaan isu ini yang menyokong artis terbabit kononnya biarlah mengapa perlu kecoh sedangkan itu hanyalah lakonan.

Terbatuk dan tercekik membacanya.


Kesabaran dalam kemaksiatan

Allahu Allah. Semalam membaca status seseorang di Facebook berbunyi lebih kurang seperti ini,

'Have to be patient to download ***&%$^&*&%  2011...in HD', kemudian meletakkan tanda senyum dihujungnya. Katanya merujuk kepada video persembahan lagu oleh model-model seksi jenama pakaian dalam wanita Victoria Secrets.


Betapa kurangnya sensiviti masyarakat terhadap dosa. Mewar-warkan benda yang tidak sepatutnya lebih menonjol daripada menyebarkan kebaikan untuk diteladani dan diikuti. Peluang yang ada lebih banyak diguna untuk perkara-perkara yang kurang manfaat malah lebih cenderung kepada perkara lagha dan dosa.



Pengiktirafan dalam kejahilan

Hari ini juga apabila membuka dada akhbar dan membaca ulasan mesyuarat tahunan sebuah parti politik di tanah air, terlihat satu gambar seorang artis yang diceritakan telah membela kawan perjuangannya di dunia lakonan yang telah melakonkan adegan ranjang di atas, telah dianugerahkan 'Anugerah Artis Wanita Cemerlang' oleh sebuah organisasi yang memperjuangkan melayu dan islam.

Tidak pasti apa lagi anugerah yang diwujudkan, tetapi yang lebih menerima 'highlight' oleh media, sudah tentulah yang berani 'mencuba' perkara yang luar biasa dan membawa pelbagai perubahan-perubahan yang di anggap 'mengikut trend' khususnya di dalam dunia kesenian.


Antara Paradoks dan Kejahilan

Paradoks atau pertentangan adalah gaya bahasa di dalam karya-karya sastera yang sengaja digunakan oleh penulis untuk meninggalkan kesan dan impak yang lebih mendalam di dalam karyanya. Adakah perkara-perkara di atas juga merupakan paradoks yang tercipta bagi meninggalkan impak, atau paradoks yang tercipta lantaran kejahilan dan betapa manusia kian lupa pada pencipta.

Bukan sekadar istilah agama dan nilai murni, malah kata pujian dan kebesaran kepada Allah disandarkan terhadap dosa dan maksiat. Belum pernah terlihat paradoks yang sebegini wujud melainkan mengundang murka Allah.


Atau Paradoks dan Keimanan

Menarik. Pernah sekali dahulu menulis sebuah artikel yang paradoks berkenaan solat seorang penzina. Namun hari ini apabila terjumpa sebuah hadis di dalam sebuah artikel, terasa ingin mengubah kembali isi kandungan artikel tersebut.

Abu Hurairah pernah bertanya kepada Rasulullah, tentang orang yang mengerjakan solat sebelah malamnya tetapi apabila tiba siang dia masih mencuri, maka Rasulullah menjawab bahawa solatnya itu kelak lambat laun akan membuatkan pelakunya berhenti daripada mencuri. Hadith diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan dinilai Sahih oleh Albani.

Lantas teringat satu kisah yang dibaca diceritakan kepada anak usrah berkenaan kisah seorang lelaki yang menghadapi masalah ketagihan pronography yang sangat teruk namun sungguh kental azam dan semangatnya untuk berubah. Sesungguhnya perubahan itu tidak mudah. Walaupun dalam keadaan dilanda ketagihan pronography yang teruk, beliau telah habis menghafal 10 juzu' al-quran dan sering bangun malam bertahajjud memohon bantuan Allah.

Namun, kemudian dia masih lagi terperangkap di dalam lembah maksiat itu sehingga dia buntu tetapi keazamannya untuk berubah terus menerus membuatkan dirinya beribadah kepada Allah.

Kisah ini sungguh paradoks. Di dalam kemaksiatan itu dia berusaha melepaskan diri dari maksiatnya dengan meningkatkan ibadah kepada Allah. Oh, paradoks. Berbeza sekali dengan kisah-kisah yang dipaparkan diatas.

Kehidupan ini penuh dengan paradoks dan pertentangan. Iman dan nafsu itu secara fitrahnya adalah perkara yang paradoks sedari mula dan selamanya akan menerus sebagai paradoks. Namun sekalipun iman dan nafsu itu sering bertelingkah, teruskanlah tasbit dan teguh di dalam menunaikan perintahNya. Sentiasalah mendalami ilmu walau diri semakin menjengah usia tua, tetaplah dalam pencarian ilmu agama kerana dengan ilmu mematangkan iman. Dan dengan iman itulah dapat membezakan antara haq dan kebatilan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...